Pada minggu ketiga, saya didedahkan kepada etika penggunaan komputer dan internet. Sesungguhnya internet memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia amnya dan sistem pendidikan pada hari ini khasnya. Internet menjadikan informasi yang kita perlukan berada di hujung jari kita. Namun, pada masa yang sama, keburukan turut datang bersama dengan kebaikan yang boleh kita peroleh sekiranya kita menyalahgunakan kemudahan internet tersebut. Oleh hal yang demikian, etika penggunaan komputer dan internet diperkenal agar kita tidak lari dari garis panduan yang telah ditetapkan
Penyalahgunaan internet pada hari ini bukanlah timbul disebabkan kewujudan internet itu sendiri. Namun berlaku disebabkan sikap manusia yang menjadi hamba kepada perkara negatif dan tidak bertanggungjawab dalam menggunakan kemudahan tersebut. Sebagai seorang bakal guru, sikap tersebut tidak sepatutnya ada dalam diri kita kerana perkara tersebut akan merosakkan profesion keguruan sebagai suri teladan kepada murid-murid. Insan yang berkualiti bukan sahaja cemerlang dari segi akademik dan kurikulum, malah aspek sahsiah juga perlu dititik beratkan. Oleh hal yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab setiap guru untuk menjadi contoh yang terbaik kepada murid-murid agar dapat melahirkan murid yang cemerlang dalam bidang akademik dan juga sahsiah
Melalui amali yang telah saya jalani, saya telah menghasilkan brosur dan powerpoint mengenai etika penggunaan internet. Brosur boleh dijadikan medium dalam menyebar dan memberi informasi kepada orang ramai mengenai isu yang berkaitan dengan internet. Oleh itu, amali pada kali ini membantu saya untuk mempelajari teknik bagi menghasilkan brosur yang menarik dan berinformasi.
No comments:
Post a Comment